Tajus al-Salatin VS Bustan al-Salatin

Tajus al-Salatin VS Bustan al-Salatin Dalam Hal Kepimpinan Wanita
Dalam dunia kesusasteraan Melayu tradisional terdapat dua buah karya terbesar dalam genre sastera ketatanegaraan yang membicarakan tentang kualiti diri sebagai pemimpin. Karya tersebut ialah Taj al-Salatin yang dikarang oleh Bukhari al-Jauhari pada tahun 1603 di Acheh dan Bustan al-Salatin yang dikarang oleh Nuruddin ar-Raniri pada tahun 1636. Kedua-dua karya ini dijadikan panduan dan cerminan kepada pemerintah dalam mentadbir negara.

Kedua-dua karya ini juga dinyatakan tentang pemerintahan oleh raja wanita. Melalui artikel Women Rajas in Two Classical Malay Texts: the Bustan al-Salatin and the Taj al-Salatin yang ditulis oleh Mulaika Hijjas membicarakan perbandingan terhadap perbezaan pandangan pengarang Bustan al-Salatin dengan pengarang Taj al-Salatin tentang wanita yang menjadi raja dalam tampuk pemerintahan. Menurut Nuruddin ar-Raniri dalam Bustan al-Salatin wanita boleh menjadi pemimpin asalkan wanita itu berasal dari keturunan raja yang memerintah kerana asalkan wanita tersebut seorang yang kaya dan dihormati dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, raja wanita diukur berdasarkan aspek darah keturunan diraja. Segala aspek yang memaparkan kelemahan wanita diketepikan demi menjaga nama baik serta kesucian darah keturunnya. Pengarang menyatakan bahawa darah diraja yang mengalir dalam tubuh setiap waris perlu dikekalkan walaupun berajakan seorang wanita. Nuruddin ar-Raniri juga memuji pemerintahan Sultan Taj al-Alam iaitu raja wanita pertama yang memerintah Acheh selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani. Hal jelas diceritakan dalam bab dua fasal tiga belas yang menceritakan kejayaan Sultan Taju’ l-Alam Safiatun-Din Shah yang mengambil tampuk pemerintahan dari suaminya dilihat penuh kehebatan dari segi adat dan kekayaan kerajaan Nurudin juga menyamai pemerintahan Sultan Taj al-Alam dengan pemerintahan Sultan Iskandar Thani. Hal ini ternyata berbeza dengan realiti sejarah kerajaan Acheh apabila dilihat negara-negara seperti Pahang, Kedah dan Perlak yang asal dari jajahan takluk Acheh melepaskan diri. Hal ini jelas membuktikan bahawa pemerintahan daripada raja perempuan adalah lemah.

Pandangan Bukhari al-Jauhari dalam karya Tajus al-Salatin tidak menolak akan kepimpinan wanita tetapi boleh dilakukan dalam keadaan tertentu untuk mengelak fitnah, darurat dan sebagainya. Selain itu dalam karya ini ada mengemukakan tentang sifat-sifat wanita dan syarat-syarat yang perlu dilakukan apabila seseorang wanita menjadi pemimpin. Dalam Tajus al-Salatin antara fasal lima hingga sembilan Bukhari al-Jauhari membicarakan tentang raja dan pemerintahan yang menyatakan tentang peranan, sifat dan ciri-ciri seorang raja. Menurut Bukhari al-Jauhari sifat-sifat wanita digambarkan sebagai insan yang kurang budi, beremosi, lemah, perlu dilindungi oleh lelaki, dan tidak boleh berperang berbanding lelaki. Fitrah kejadian wanita juga dilihat menjadi faktor kepada keterbatasan wanita untuk menjadi pemimpin. Seperti dengan kitaran haidnya setiap bulan, mengandung dan melahirkan anak berbanding dengan fitrah lelaki. Wanita juga dilihat dari segi pandangan Islam, mempunyai keterikatan terhadap batas-batas agama. Sebagai contohnya wanita tidak boleh menjadi iman dalam sembahyang berjemaah, menjadi ketua keluarga, dan batas auratnya wajib dijaga daripada bukan muhrim serta mempunyai tanggungjawab yang besar apabila sudah bersuami, mempunyai anak-anak dan berkeluarga. Menurut Bukhari al-Jauhari lagi wanita boleh menjadi pemimpin dalam bahagian-bahagia tertentu seperti pemimpin kepada kaum mereka, pemimpin dalam soal-soal yang berkaitan dengan kewanitaan dan sebagainya yang layak dan besesuian dengan hak asasi wanita. Sekiranya layak bagi seorang wanita memegang kepimpinan yang menyamai lelaki adalah seharusnya mempunyai penasihat lelaki seeloknya yang muhrin bagi melancarkan peranan dan tanggungjawabnya disamping itu dapat menjaga dan melindungi batas-batas dan fitrahnya sebagai wanita dari pandangan Islam.

Sehubungan itu, perbandingan dua pandangan tokoh agama dalam dua buah karya besar iaitu Bustan al-Salatin dan Tajus al-Salatin dilihat mempunyai perbezaan yang ketara. Kewajaran pandangan kedua-dua karya ini dilihat berpihak kepada karya Tajus al-Salatin yang memberi gambaran jelas tentang kedudukan wanita sebagai pemimpin dengan terperinci dan mengikut landasan agama Islam. Jika terdapat kesulitan tertentu, barulah wanita boleh diambil untuk menjadi pemimpin dengan mengikuti syarat-syarat yang tertentu. Namun telah ditegaskan bahawa lebih elok seorang pemimpin itu haruslah daripada seorang lelaki.

Tajus Salatin Hubungannya Dengan Pemimpin Era Globalisasi

Taj al-Salatin dikarang oleh Bukhari Al-Jauhari pada tahun 1603 yang dikaitkan dengan sebuah tempat di Bukhara iaitu salah sebuah tempat di Uzbekistan. Pada masa ini para sarjana sastera masih belum mengetahui siapa sebenarnya Bukhari Al-Jauhari, namun begitu ada ura-ura mengatakan bahawa nama Bukhari Al-Jauhari berkait rapat dengan seorang tokoh Islam iaitu Iman al-Bukhari. Seterusnya Iman al-Bukhari adalah pengarang kumpulan tradisi yang dikumpulkan dalam Sahih Bukhari iaitu sebuah buku yang bertajuk Al-Jami-al-Sahih, yang dianggap orang Islam Sunni sebagai hadis sahih daripada Nabi Muhammad s.a.w. Karya sejarahnya yang terkenal ialah sebuah buku yang bertajuk Al-Tarikh-al-Kabi. Buku Tajus-Salatin yang diselenggara oleh Khalid Hussain pada tahun 1992 adalah mengisahkan tentang panduan atau saranan untuk menjadi pemimpin yang baik. Karya ini berteraskan perinsip dan ajaran Islam yang menjadi pegangan dan cerminan pada zaman pemerintahan sultan Alauddin Riayat Shah. Karya ini menjadi peranan yang besar dan dijadikan panduan kepada pembesar Melayu pada ketika itu.

Dalam era globalisasi ini Tajus Salatin membawa suatu penganjuran konsep kepimpinan yang berteraskan Islam bagi menegakkan keadilan untuk dinikmati faedahnya sesama insan. Peranan dan fungsinya mampu dimanfaatkan dalam era globalisasi untuk melahirkan individu yang berketerampilan baik, positif dan peka terhadap kebajikan bersama. Penghayatan ke atas teks ini akan menghasilkan para pemimpin yang adil dan keadilan itu akan dimanfaati oleh segenap lapisan masyarakat di bawah pimpinannya. Oleh itu, jelas sekali bahawa Tajus Salatin ini mampu memberi sumbangan yang bermakna kepada khalayak dalam memupuk pembentukan kualiti diri yang ideal bagi para pemimpin.

Ringkasan Tajus Salatin

Karya ini dimulai dengan suatu pendahuluan yang diikuti dengan huraian yang terdiri dari dua puluh empat fasal. Pada peringkat pendahuluan karya ini berisikan puji-pujian kepada Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabatnya iaitu keempat khalifah r.a. Selain itu, karya ini juga berisikan tentang tujuan buku ini dikarang adalah untuk memberitahu mengenai pekerti seorang raja, menteri, hulubalang dan rakyat serta tugas dan tanggungjawab mereka masing-masing. Buku ini juga menegaskan betapa besar dan mulianya seseorang raja itu sekirangnya mempelajari serta dijadikan panduan terhadap buku ini sehingga layaklah baginya sesuatu makhota.

Fasal pertama menyatakan tentang manusia mengenal dirinya sendiri. Tentang bagaimana asal mulanya dan bagaimana terjadinya manusia. Fasal ini dimulai dengan hadis nabi yang bermaksud barang siapa yang mengenal dirinya maka sesungguhnya ia mengenal Tuhannya. Fasal kedua pula mengisahkan tentang bagaimana orang mengenal Tuhan yang menjadikan mereka dan juga alam semesta. Fasal ini dimulakan dengan sepotong ayat al-Quran yang bermaksud ada pun hak Tuhan menjadikan sekalian manusia dan segala jin dari kerana mengenal zat-Nya dan mengetahui sifat-Nya segala mereka itu dan nyata kuasaan Tuhan akan segala hamba-Nya. Fasal ketiga, menyatakan bagaimana mengenal dunia. Fasal ini didasarkan pada sepotong ayat al-Quran yang menjelaskan tentang rezeki yang tuhan kurniakan kepada manusia dan mengaplikasikan kurniaan tuhan itu dengan sebaik-baiknya. Fasal keepat, menyatakan kesudahan kehidupan manusia dan saat terakhir menjelang maut. Fasal ini dimulakan dengan firman Allah yang menjelaskan setiap kehidupan akan mati. Dalam fasal ini menjelaskan dua golongan manusia iaitu yang leka dengan duniawi dan golongan yang berbudi yang mengejar akhirat. Fasal kelima, menyatakan martabat dan kekuasaan raja. Sebagai contoh pemerintahan Musa, Yusuf, Daud, Muhammad, Abu Bakar, Uthman dan Ali. Fasal keenam, didasari dengan firma Allah menyatakan tentang keadilan dan bagaimana menegakkan keadilan. Melalui firman Allah memerintahkan supaya berlaku adil dan melakukan kebaikan. Sekiranya berlaku hal sebaliknya, akan hilanglah daulat raja. Fasal ketujuh, menyatakan budi pekerti raja yang adil yang bergaul dengan orang yang beriman serta menjauhkan diri dari sebaliknya. Diberikan contoh seperti Khalifah Umar dan Raja Harun al-Rasyid. Fasal kelapan, menyatakan tentang raja kafir yang berlaku adil seperti Raja Nusyirwan. Keadilan raja itu sehingga mendapat gelaran Nusyirwan ‘Adil dan mendapat kemuliaan. Sekiranya dilakukan oleh orang yang beriman akan bertambahlah kemuliaannya. Fasal kesembilan, menyatakan tentang kezaliman dan penindasan sekiranya melalakukannya akan dimurkai Allah dan tidak mendapat syafaat Nabi Muhammad s.aw. Fasal kesepuluh, menyatakan pelajaran tentang tugas dan kewajipan serta budi pekerti pembesar-pembesar kerajaan dalam pemerintahan dan pekerjaan mereka masing-masing. Suatu kerajaan atau suatu pemerintahan itu diibaratkan sebagai suatu mahligai berdiri di atas empat buah tiang utama iaitu menteri berwibawa, panglima yang berani, pembesar yang amanah dan mukhbir iaitu penyiar berita yang jujur.

Fasal kesebelas, menyatakan tentang tugas dan kewajipan para penulis kerajaan. Huraian ini berdasarkan firman Allah yang menjelaskan betapa pentingnya qalam daripada pedang sehingga penulis dikatakan juru bicara raja. Fasal kedua belas, menyatakan tentang tugas dan kewajipan para duta kerajaan. Fasal ini berdasarkan sebuah ayat yang menjelaskan tentang para rasul yang tidak takut dalam menyampaikan perintah Allah. Diberikan contoh melalui Hikayat Nabi Musa dan Hikayat Nabi Harun. Duta dikatakan sebagai ganti mata, telinga dan lidah raja. Fasal ketiga belas, menyatakan tentang budi pekerti semua hamba raja supaya menjadi hamba yang terpuji. Fasal keempat belas, menyatakan tentang cara mendidik anak. Dikatakannya bahawa anak itu dari kecil adalah suci dari semua kejahatan. Ibu bapalah yang harus mendidiknya. Fasal kelima belas, menyatakan tentang berlaku hemat yang benar. Supaya orang berlaku hemat dan tidak akan dihina. Fasal keenam belas, menyatakan tentang akal dan orang yang berakal. Akal manusia merupakan pertimbangan yang membezakan baik dan buruk. Manusia yang berilmu harus berbudi agar dapat dimanfaatkan. Fasal ketujuh belas, menyatakan tentang undang-undang dasar kerajaan. Raja wajib memelihara undang-undang agar tidak menyimpang.

Fasal kelapan belas, menyatakan tentang ilmu kiafat dan firasat. Sebagai ilmu untuk mengenali manusia seperti ilmu nubuat, ilmu wilayat, ilmu hikmat dan ilmu kiafat dan firasat. Fasal kesembilan belas, menyatakan tentang tanda-tanda ilmu kiafat dan firasat. kedua-dua ilmu ini berbeza tapi salaing berkaitan dan berasal dari satu tempat yang sama. Dalam ilmu kiafat adalah untuk mengetahui tanda-tanda pada tubuh manusia. Apabila mengenal tanda-tanda pada tubuh manusia dipanggil ilmu firasat. Tujuan mempelajari ilmu ini supaya orang dapat membedakan antara kebaikan dan keburukan. Fasal kedua puluh, menyatakan tentang hubungan hamba yang Islam terhadap rajanya. Dalam fasal ini ditunjukkan dua puluh hak hamba itu terhadap rajanya. Dalam fasal ini ditunjukkan adanya dua puluh hak hamba itu terhadap rajanya. Hak itu ditunjukkan satu persatu dengan cerita sebagai huraian.

Dalam fasal kedua puluh satu, menyatakan tentang hubungan hamba yang kafir terhadap rajanya. Dalam fasal ini menceritakan hubungan Umar dengan hamban rakyatnya yang kafir, baggaimana tindakan Umar sehingga negeri pemerintahannya aman dan harmoni. Hubungan hamba yang kafir dengan rajanya dalam fasal ini ditunjukkan dalam dua puluh syarat. Fasal kedua puluh dua, menyatakan tentang keadilan dan sifat mulia. Dalam fasal ini dimulakan dengan hadis yang mengatakan bahawa Allah mengasihani orang yang pemurah dan benci kepada orang yang bakhil. Sehingga dikatakan orang yang pemurah adalah mulia dan orang bakhil adalah orang yang hina. Demikian juga sifat pemurah merupakan perhiasan manusia sedang sifat bakhil merupakkan cela bagi manusia. orang pemurah akan masyhur dan seluruh manusia membencinya meskipun belum diketahui kerugian kebakhilannya. Inilah tanda pemisah antara kemuliaan dan kejahatan. Pada fasal ini diberikan empat hikayat sebagai contoh.

Fasal kedua puluh tiga, menyatakan tentang sifat menepati janji. Pekerjaan kerajaan itu terletak pada sifat menepati janji ini. Semua bangsawan, dermawan, budiman, beriman, terutama raja harus selalu menepati janji. Dalam huraian itu diberikan beberapa hikayat sebagai teladan. Fasal yang terkahir sekali ialah fasal dua puluh empat, yang merupakan fasal penutup. Dalam fasal ini diberikan petunjuk bagaimana melaksanakan pedoman pada fasal-fasal dalam Tajus Salatin supaya aman dan harmoni sesebuah negeri.

Signifikan Tajus al-Salatin Dalam Masyarakat Kini

Dalam era globalisasi yang dihadapi oleh masyarakat kini banyak kepincangan yang berlaku dalam melestarikannya. Keadaan ini memberi impak kepada pembangunan spiritual yang negatif kepada masyarakat. Kepincangan ini dilihat dengan timbulnya agenda kolonialisasi, penyelewengan, rasuah dan lain-lain lagi yang menular dalam masyarakat kini.

Berbanding dengan perspektif Islam pula manusia dianggap sebagai khalifah Allah di muka bumi yang dikurniakan akal dan tanggungjawab terhadapnya. Sehubungan itu, adalah wajar bagi setiap individu yang dianggap sebagai pemimpin untuk memenuhi tuntutan dan peranannya kepada penciptanya. Dengan demikian, dalam mendepani arus globalisasi ini peranan sastera mampu memberi sumbangan dalam menangani kepincangan ini. Sumbangan ini dapat dilihat dalam warisan perbendaharaan kesusasteraan Melayu tradisional melalui genre ketatanegaraan iaitu karya Tajus al-Salatin karangan Bukhari al-Jauhari.

Tajus al-Salatin muncul pada tahun 1603 di Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Ri’ayat Syah Sayid al-Mukammil (1588-1604) yang dijadikan panduan dan cerminan kepada pemerintah dalam mentadbir negara. Karya ini berteraskan Islam berdasarkan pengalaman dan perlakuan pemimpin-pemimpin praIslam dan Islam sama ada yang zalim atau adil mahupun kafir atau Islam sebagai perbandingan. Karya ini juga digunakan dengan meluas oleh pemimpin-pemimpin mahupun individu dalam masyarakat Melayu terdahulu.

Sehubungan itu, dalam senario dewasa ini pemimpin pada era globalisasi dilihat lebih bersifat rakus, angkuh, mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab. Sikap negatif ini akan membawa kepada kehancuran dalam masyarakat. Seterusnya kepincangan-kepincangan ini akan menjatuhkan nilai martabat sesebuah bangsa itu sendiri.

Justeru itu, karya kesusasteraan Melayu tradisional khususnya Tajus al-Salatin adalah signifikan dalam menangani arus globalisasi. Berteraskan Islam dan pemikiran serta konsep-konsep yang disarankan kepada pemimpin mahupun individu akan membentuk acuan sendiri dalam kalangan masyarakat dewasa ini. Seterusnya penghayatannya dapat memberi keadilan dan faedahnya dinikmati sesama insan. Karya kesusasteraan Melayu tradisional bukan hanya sekadar khazanah atau warisan bangsa tatapi merupakan titik permulaan peradaban kepada tamadun bangsa. Segala pemikiran di dalamnya terkandung nilai sejagat yang harus dicerapkan ke dalam masyarakat kini. Sehubungan itu, jangan diketepikan dan harus diketengahkan signifikannya dalam kalangan masyarakat agar dapat membentuk sebuah masyarakat yang aman dan harmoni.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s