Bustan Al-Salatin oleh Dr Jelani Harun

JELANI HARUN
BUSTAN AL-SALATIN
Mutiara Kesufian Untuk Raja-Raja
Daripada Nuruddin al-Raniri
Pendahuluan
Kedudukan Bustan al-Salatin sebagai sumber ketatanegaraan raja-raja Melayu telah
menjadi bahan kajian ramai sarjana. Teks tersebut lahir dalam wawasan pengarang
memberi panduan dan nasihat tentang adab pemerintahan kepada raja-raja Aceh
berteraskan kerangka keislaman. Pada tahap yang lebih sakral, teks nukilan Nuruddin
al-Raniri ini turut memancarkan cahaya mutiara kesufian kepada raja-raja, suatu
dimensi pemikiran yang selaras dengan kebangunan Aceh sebagai Darussalam pada
abad ke-17 yang lalu. Pengarang Bustan al-Salatin dengan itu berkecenderungan untuk
memberi panduan dan nasihat kepada para pemerintah tentang aspek-aspek kerohanian
dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, bukan melalui doktrin, falsafah atau
susun-atur ajaran Sufi, sebaliknya tercerna dalam nada amalan kerohanian yang
praktikal sifatnya. Kupasan terhadap persoalan-persoalan di atas akan menjadi inti pati
tulisan ini sehingga akhirnya akan menjurus ke arah kemanfaatan segala cahaya mutiara
kesufian tersebut kepada para pemerintah kerajaan Melayu keseluruhannya.
Nuruddin al-Raniri merupakan seorang ulama, pengarang, ahli Sufi dan ahli sejarah
yang berasal dari Rander, Gujarat, India. Beliau tiba di Aceh sekitar tahun 1637 dan
seterusnya berkhidmat di bawah naungan Sultan Iskandar Thani (1636-1641).
Keilmuan Nuruddin al-Raniri dapat dikesan melalui sejumlah kira-kira 30 buah kitab
yang telah dihasilkannya meliputi bidang fekah, sejarah dan perbincangan tentang
persoalan tasawuf, sama ada ditulis dalam bahasa Arab ataupun bahasa Melayu. Antara
kitab yang utama ialah Sirat al-Mustaqim (1634-1644), Durrat al-Fara’id bi Sharh al-
`Aqa’id (1635), Hidayat al-Habib fi al-Targhib wa al-Tarhib (1635), Bustan al-Salatin
(1638), Asrar al-Insan fi Ma’rifat al-Ruh wa al-Rahman (1640-1644), Tibyan fi
Ma’rifat al-Adyan (1642-1644), Jawahir al-`Ulum ft Kasyf al-Ma’lum (1642-1644),
Hujjat al-Shiddiq li Daf’i al-Zindiq (1638-1641) dan Al-Fath al-Mubin `ala al-
Mulhidin (1657).
Kajian-kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana mendapati Nuruddin al-Raniri
adalah pengamal tarekat Rifa’iyya dan Qadiriyya.’ Sementara itu, kajian oleh A.H.
1 Rujuk Syed Muhammad Naguib (1966) dan Azyumardi Azra (1992).
26 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005
Johns (1955: 70-77) pula merumuskan, sebelum kedatangan Nuruddin al-Raniri ke
Aceh, beliau telah kuat terpengaruh dengan perjuangan Syeikh Ahmad Sirhindi (1563-
1624) di India. Di India ketika itu, telah berlaku polemik yang hebat terhadap fahaman
Wandat al-Wujud yang ditentang keras oleh Syeikh Ahmad Sirhindi yang berpegang
kepada Wandat al-Shuhud. Polemik tersebut berterusan hingga zaman pemerintahan
Shah Jahan (1627-1658), yakni, dalam tempoh masa yang hampir sama dengan tarikh
kedatangan Nuruddin al-Raniri ke Aceh. Besar kemungkinan polemik kesufian dan
keintelektualan yang berlaku di India telah memberi pengaruh kepada tindakan keras
Nuruddin al-Raniri menentang ajaran Wujudiyyah pegangan Hamzah Fansuri dan
Syamsuddin al-Sumaterani semasa beliau berada di Aceh.2
Dalam tulisan ini, penulis tidak berhasrat untuk membicarakan polemik pemikiran
yang telah berlaku antara Nuruddin al-Raniri dengan pegangan Wujudiyyah Hamzah
Fansuri dan Syamsuddin al-Sumaterani. Walau bagaimanapun, perlu disebut bahawa
Nuruddin al-Raniri merupakan ulama yang pertama kali menekankan peri pentingnya
masyarakat Aceh/Melayu bersikap dan berfikiran kritis terhadap amalan kerohanian,
suatu bentuk pemikiran yang baru dalam masyarakat Melayu masa itu. Malahan,
kritikan Nuruddin al-Raniri terhadap Wujudiyyah sudah pun disuarakan dalam karyanya
yang pertama, Sirat al-Mustakim, yakni, sebuah kitab khusus yang membicarakan
persoalan ilmu fikah.3 Nuruddin al-Raniri dipercayai telah pulang ke India pada tahun
1644 sewaktu perbahasan tentang Wujudiyyah semakin memuncak di Aceh ketika itu .’
Menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas (1986: 12), Nuruddin al-Raniri meninggal
dunia di India pada 22 Zulhijjah 1068 / 21 September 1658.
Tajuk lengkap Bustan al-Salatin sebagaimana tercatat dalam manuskrip Raffles
Malay 8 (halaman 4) ialah: 5 “Wa sammaituhu Bustan al-Salatin fi Dhikr al-Awwalin wa
al-Akhirin. Dan dinamai fakir kitab ini Bustan al-salatin, ertinya, kebun segala rajaraja,
dan menyatakan permulaan segala kejadian dan kesudahannya.” Penulisan teks
tersebut adalah atas titah perintah Sultan Iskandar Thani dan merupakan hasil kompilasi
Nuruddin al-Raniri daripada beberapa sumber rujukan kitab-kitab Arab dan beberapa
buah teks Melayu seperti Taj al-Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Iskandar Zulkarnain
dan Sejarah Melayu.6 Isi kandungan teks, khususnya berdasarkan manuskrip Raffles
Malay 8, terdiri daripada tujuh bab dan terbahagi kepada enam puluh fasal seperti berikut:
2 Keterangan lanjut tentang asal-usul Nuruddin al-Raniri, sejarah kedatangannya ke Tanah Melayu dan peranannya di Aceh,
serta senarai lebih kurang tiga puluh buah kitab tulisannya dalam bahasa Melayu dan Arab dapat dirujuk dalam Syed
Muhammad Naguib al-Attas (1986: 25-28).
3 Dalam Sirat al-Mustaqim, terdapat kritikan Nuruddin al-Raniri terhadap pengikut Wujudiyyah yang dikatakannya sebagai
mulhid dan melarang masyarakat mengamalkannya (rujuk Sirat al-Mustaqim di bahagian sisi Sabil al-Muhtadin, halaman
212).
4 Maklumat tentang perkara ini diperolehi melalui kajian seorang sarjana Jepun bernama Ito (1978: 489-491) yang telah
menemui sebuah catatan diari seorang pegawai Belanda yang berada di Aceh ketika itu bernama Peter Sourij. Di dalam
diarinya, Peter Sourij mencatatkan akan kehadiran seorang ulama baru yang berasal dari Minangkabau bernama Saifulrijal,
yang telah berjaya mengumpulkan pengikut-pengikut Wujudiyyah dan seterusnya melancarkan serangan balas terhadap
hujah-hujah Nuruddin al-Raniri dalam beberapa siri perdebatan di istana. Nuruddin al-Raniri akhirnya terpaksa
meninggalkan Aceh untuk pulang ke tanahaimya.
5 Manuskrip Raffles Malay 8 kini tersimpan di Royal Asiatic Society, London.
6 (Raffles Malay 8: halaman 3): “Dan kemudian dari itu pada tujuh haribulan Syawal, maka dititahkanyang maha mulia fakir
dengan titah yang tiada dapat tiada menjunjung dia sultan mu’azzam yang hafan lagi murah, yang pertama besar martabat
izzatnya, iaitu Sultan Iskandar Thani Alauddin Mughayat Syah Johan berdaulat zillullah fil alam…”
BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 27
Bab I Pada menyatakan kejadian bumi tujuh petala dan tujuh petala
langit (30 fasal)
Bab II Pada menyatakan segala anbia dan raja-raja (13 fasal)
Bab III Pada menyatakan raja-raja yang adil, kadi, wazir, utusan dan katib
(6 fasal)
Bab IV : Pada menyatakan raja-raja yang pertapa dan segala anbia yang
salih (2 fasal)
Bab V : Pada menyatakan kelakuan raja yang zalim dan wazir yang aniaya
(2 fasal).
Bab VI • Pada menyatakan orang yang sakhi (pemurah) dan orang yang
berani (2 fasal)
Bab VII : Pada menyatakan akal dan ilmu, firasat, penyakit dan ilmu tabib,
sifat perempuan dan cerita-cerita ajaib (5 fasal).
Sebagai sebuah karya adab ketatanegaraan, isi kandungan Bustan al-Salatin
dipenuhi dengan pelbagai panduan dan nasihat tentang tatacara pentadbiran negara,
menyamai karya-karya seperti Taj al-Salatin oleh Bukhari Jauhari atau pun Nasihat al-
Muluk oleh Imam al-Ghazzali. Walau bagaimanapun, dalam memberi panduan dan
nasihat pemerintahan kepada raja-raja, Nuruddin al-Raniri tidak hanya mementingkan
aspek-aspek kehidupan keduniaan, tetapi turut menekankan aspek kehidupan
kerohanian para pemerintah. Seorang raja tidak hanya dinasihati supaya adil, bijaksana,
pemurah, gagah dan perkasa, tetapi juga harus memiliki kekuatan jiwa kerohanian.
Dalam konteks ini, Bustan al-Salatin kaya dengan pelbagai panduan dan nasihat
bernada kesufian yang tinggi nilainya, yang dapat diringkaskan dalam tiga tema
perbincangan seperti berikut:
(i). daripada Bertakhta kepada Bertapa
Daripada tujuh bab yang membina Bustan al-Salatin, Bab IV agak tersendiri sifatnya,
kerana khusus membicarakan hal yang berkaitan dengan cerita-cerita raja yang bertapa,
yakni, melakukan riadah dalam amalan kerohanian. Bab ini terdiri daripada dua
bahagian (fasal) meliputi kisah raja-raja yang bertapa dan peri kehidupan anbia dan
aulia pada masa silam. Judul khusus bagi Bab IV tersebut adalah seperti berikut (MS
UM 41, halaman 577)’ :
Bab yang keempat pada [menyatakan] kelakuan segala raja-raja yang bertapa dan
menyatakan kelakuan segala aulia Allah yang salih. Dalamnya dua fasal.
Fasal yang pertama pada menyatakan kelakuan segala raja-raja yang bertapa yang
meninggalkan dunia pada zaman yang terdahulu kala kerana mengikut keredaan
Allah Taala.
Fasal yang kedua pada menyatakan kelakuan segala aulia Allah yang dahulu kala.
7 Perbincangan tentang Bab IV Bustan al-Salatin dalam tulisan ini adalah merujuk kepada salinan manuskrip UM 41 yang
kini tersimpan di Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
28 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005
Daripada judul di atas, memperlihatkan penekanan Nuruddin al-Raniri agar rajaraja
mengamalkan hidup bertapa, dalam erti kata membersihkan diri daripada cara
hidup keduniaan yang penuh kemewahan dan kekuasaan demi menurut jalan keredaan
Ilahi. Seorang yang bertapa akan berusaha membersihkan jiwa dengan amalan-amalan
kerohanian yang tertentu, berzikir dan bermujahadah nafsu, justeru akan mendekatkan
diri ke arah kehidupan yang zahid. Perbuatan ini adalah amalan yang sebati dengan cara
hidup para aulia dan orang salih yang banyak diceritakan dalam kitab-kitab agama.
Pandangan Nuruddin al-Raniri disokong dengan petikan kata-kata orang salih seperti
berikut:
Kata Syeikh Zi al-Nun al-Misri radiallahu anhu, bahawa segala yang bertapa dalam
dunia itu raja pada hari kiamat (Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 578)
Kata Syeikh Abi Madain radiallahu anhu, yang raja itu dua bahagi, suatu raja yang
mengimpunkan segala hati segala hamba Allah dan yang sebenar-benar raja itu iaitu
segala raja yang bertapa dalam dunia. (Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 578)
Nasihat Nuruddin al-Raniri kepada raja-raja agar mengamalkan hidup bertapa
kemudian diperhalusinya dengan ‘memetik beberapa buah cerita yang berkaitan dengan
kisah raja-raja yang bertapa pada masa silam. Dalam cerita-cerita tersebut, banyak
dipaparkan bagaimana kisah raja yang mendapat hidayat kerohanian melalui peristiwaperistiwa
yang mereka alami. Raja-raja tersebut akhirnya turun dari takhta dan
mengembara menjalani kehidupan selaku seorang fakir yang mencari kebenaran.
Berikut diperturunkan sebuah daripada cerita yang dimaksudkan:
Kata sahibul hikayat, sekali persetua, ada seorang raja pada zaman yang dahulukala
menitahkan berbuat sebuah mahligai amat indah perbuatannya dan perhiasannya.
Apabila sudahlah mahligai itu, maka raja pun menitahkan memanggil segala isi
negeri berjamu mereka itu. Maka segala isi negeri itu pun datanglah ke mahligai itu
makan minum bersuka-suka.
Syahadan raja pun menitahkan yang menunggu pintu, “Barangsiapa keluar daripada
pintu mahligai ini, hendaklah kamu tanyai akan dia, adakah kamu melihat suatu aib
pada mahligai ini atau tiada?” Maka segala mereka itu pun masing-masing keluar.
Maka orang yang menunggu pintu itu pun menanyai tiap-tiap keluar seorang
daripada mereka itu. Maka sahut mereka itu, “Suatu pun tiada aib pada mahligai ini.”
Maka kesudahan mereka itu keluar beberapa orang memakai kain kasar. Maka
ditanyai orang yang menunggu pintu itu kepada mereka, “Adakah lihat suatu aib
pada mahligai ini?” Maka sahut mereka itu, “Bahkan, ada dua aib pada mahligai
ini.” Maka demi orang menunggu pintu menengar kata mereka itu demikian, maka
orang itu pun menahan mereka itu lalu dipersembahkan kepada raja, “Ya tuanku
Syah Alam, adalah diperhamba beroleh beberapa orang yang mengatakan pada
mahligai ini dua aib.”
BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 29
Demi raja menengar sembah yang demikian itu, maka sabda raja, “Aku
menghendakkan suatu aib jua, sekarang kudengar dua aib pula.” Lagi raja
menitahkan memanggil mereka itu. Maka datang mereka itu. Maka sabda raja akan
orang itu, “Apo dua aib yang kamu melihat pada mahligai ini?” Maka sembah
mereka itu, “Ya tuanku Syah Alam, pertama-tama aib mahligai ini akan binasa jua
adanya, kedua mati jua segala isinya.”
Maka sabda raja, “Adakah kamu mengetahui mahligai yang tiada binasa dan yang
tiada mati isinya?” Maka sembah mereka itu, “Ya tuanku Syah Alam, ada mahligai
yang tiada binasa dan tiada mati isinya iaitu Syurga…” Demi didengar raja itu
sembah mereka itu, lalu ia masuk insaf pada hatinya serta taubat, lalu keluarlah ia
daripada mahligai serta meninggalkan kerajaannya. Maka berjalanlah ia kepada
jalan Allah.
(Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 602-604)
Secara tersurat, petikan cerita di atas seolah-olah mendorong raja-raja agar turun
takhta dan meninggalkan tanggungjawab pemerintahan demi mencari kemuliaan hidup
kerohanian. Walau bagaimanapun, membaca Bustan al-Salatin secara lebih tuntas akan
membawa kepada beberapa kemungkinan makna yang lain. Seandainya diteliti
keseluruhan isi kandungan teks tersebut, amat ketara sekali sanjungan Nuruddin al-
Raniri terhadap institusi raja-raja yang wujud di Aceh ketika itu. Malahan sebahagian
besar daripada isi kandungan Bustan al-Salatin adalah membicarakan peraturan,
panduan dan nasihat tentang adab pemerintahan kepada raja-raja. Secara tersirat,
kehadiran Bab IV yang bernada kesufian lebih berbentuk “perbandingan” kepada rajaraja
tentang kuasa dan takhta pemerintahan yang sebenarnya tidak sebesar mana
berbanding dengan kepentingan bagi manusia mengamalkan ajaran agama dengan
sebenar-benarnya. Kuasa dan kedudukan sebagai raja tidaklah begitu utama seandainya
dibandingkan dengan tuntutan bagi manusia mencari kebenaran dan keredaan Allah
SWT. Nuruddin al-Raniri lebih bermatlamat menasihati raja-raja supaya menjadi
pemerintah yang salih agar mendapat kerahmatan Allah semasa hidup di dunia dan di
alam akhirat kelak. Penekanan terhadap hal ini terdapat dalam petikan cerita berikut:
Sekali persetua, pada suatu hari Iskandar Zulkarnain tiada semayam pada
percintaannya, dan tiada ia keluar dari istana. Tatkala itu Jalinus Hakim pun masuk
mengadap, maka dilihatnya Sultan Iskandar Zulkarnain dalam percintaannya, dan
sembahnya, “Ya tuanku Syah Alam, apa yang dipercintakan, maka tiada Syah Alam
keluar dari istana?” Maka sabda Sultan Iskandar Zulkarnain, “Bahawa percintaanku
ini kerana kerajaan dunia ini tiada berapa lamanya dan tiada kekal lagi akan hilang
jua dia, tiada dapat tiada memberi susah segala manusia jua adanya. Maka daripada
pekerjaan yang sia-sia inilah yang kupercintakan.”
Maka sembah Jalinus Hakim, “Sebenarnyalah seperti bicara Syah Alam itu,
bahawasanya dunia ini tiada berapa kerajaannya lagi tiada kekal, menyusah besar,
lagi tiada kesudahan kerajaannya. Maka adalah kerajaan akhirat itu mengikut
30 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005
kerajaan dunia jua. Jikalau dikerjakan kerajaan dunia itu dengan sebenarnya,
nescaya diperolehilah kerajaan akhirat yang kekal lagi tiada terkira-kira
kemuliaannya.”
Demi didengar Zulkarnain sembah Jalinus Hakim demikian itu, maka ia pun
sukacita.
Nasihat: Sayugianya bagi segala hamba Allah yang mengerjakan segala pekerjaan
dalam dunia kerana akhirat.
(Bustanus Salatin, MS UM41, halaman 617-618)
Salah seorang raja yang masyhur dalam cerita-cerita kerohanian Islam ialah Ibrahim ibn
Adham, iaitu seorang legenda Sufi yang dikaitkan sebagai pemerintah kerajaan di Balkh
(m.d. 778 M) yang turun takhta dan mengembara secara fakir. Kisah Ibrahim ibn
Adham tersebar luas dalam kesusasteraan Islam melalui sebuah cerita berjudul Hikayat
Sultan Ibrahim ibn Adham. 8 Di samping hikayat yang panjang tersebut, kisah
perjalanan kerohanian Ibrahim ibn Adham turut muncul dalam pelbagai versi anekdot
yang lebih pendek. Salah sebuah anekdot yang terkenal tentangnya telah dipetik oleh
Nuruddin al-Raniri seperti berikut:
Sekali persetua, pada suatu hari, ada hamba serta Ibrahim ibn Adham berjalan, maka
sampai kami kepada kubur. Maka Ibrahim ibn Adham pun berhenti di sisi kubur itu.
Maka katanya, “Rahmat Allah taala atas isi kubur ini,” lalu menangis. Maka kata
hamba akan dia, “Ya tuan hamba, kubur siapa ini?” Maka sahut Ibrahim ibn Adham
akan hamba, “Inilah kubur raja yang empunya negeri ini. Adalah ia sangat
mengaramkan dirinya dalam laut dunia ini umpama ombak mengalun ia atas segala
rakyatnya, dan cenderung kepada dunia. Maka datang kepadanya nugerah Allah
taala serta diluputkan-Nya ia daripada laut yang maha dalam kepada anak yang
sejahtera.
Maka pada suatu hari ada ia bersekalian dengan permain serta dengan segala
hulubalangnya, maka ia pun tidurlah, lalu ia bermimpi datang kepada seorang lakilaki
pada sisi kepalanya. Maka diucapkannya suatu sahifah tersurat dalamnya
dengan air emas demikian bunyinya: Jangan kaupilih yang fana daripada yang
baqa, dan jangan engkau maghrur dengan kerajaanmu dan kebesaranmu dan
kemuliaanmu, bahawasanya yang ada dalam kerajaanmu itu terlalu baik jikalau
tiada akan berpindah dan lenyap dan binasa, dan terlalu baik sentosamu dan
sukacitamu jika tiada ia seperti bermain-main jua adanya. Maka segeralah engkau
mengerjakan segala yang dititahkan Allah taala…
Maka tatkala sudah dibacakan sahifah itu, terlalu terkejutlah ia daripada tidurnya
dan sangatlah percintaannya serta katanya, tanbih dan pengajar daripada
Allah taala’ . Maka ditinggalkannyalah kerajaan lalu ia berjalan pada segala bukit
berbuat ibadat akan Allah taala.
8 Rujuk kajian terhadap Hikayat Sultan Ibrahim ibn Adham oleh Jones (1983).
BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 31
[Nasihat]: Sayugianya bagi segala ghafil [ghaflah/lupa] yang tidur lalai, hendaklah
ia jaga daripada tidurnya dan daripada lalainya itu.
(Bustan al-Salatin, MS UM41, halaman 593-594)
Cerita-cerita yang berkaitan dengan alam kerohanian seringkali dipenuhi dengan
unsur-unsur yang luar biasa dan bernada perlambangan. Pemahaman terhadap cerita
tersebut memerlukan daya taakulan yang lebih mendalam daripada para pembaca,
memikir bukan hanya dengan deria akal, sebaliknya melalui mutiara hati nurani yang
suci. Dapat diandaikan, melalui cerita-cerita kerohanian ini, Nuruddin al-Raniri
berhasrat untuk mendorong raja-raja berfikir/bertafakur secara mendalam tentang
kebesaran Allah SWT, meninggalkan sejenak takhta kebesaran kerajaan, sebaliknya
turun memencilkan diri, bertapa dan mengamalkan riadah kerohanian. Sebagai contoh
dapat dilihat dalam cerita Ibrahim ibn Adham yang bertemu dengan seorang syeikh
yang boleh menghadirkan hidangan makanan secara memohon doa. Petikan ceritanya
adalah seperti berikut (Bustan al-Salatin, MS UM 41: halaman 581-582):
Maka ia (syeikh) pun sembahyang dua rakaat dengan segeranya serta kata ia akan
hamba, “Berdiri sembahyanglah tuan hamba seperti sembahyang hamba ini.” Maka
hamba pun sembahyanglah. Maka tatkala hamba memberi salam, maka hamba lihat
pada pihak kanan hamba terhantar makanan dan air yang sejuk. Maka kata syeikh
itu akan hamba, “Hai anak Adham, makanlah oleh tuan hamba daripada anugerah
Allah dan mengucap syukurlah tuan hamba akan Dia pada anugerah-Nya ini.” Maka
hamba pun makanlah makanan itu sekenyang-kenyang hamba lagi ada jua makanan
itu seperti halnya tiada berkurang. Dan hamba minum air itu serta hamba mengucap
syukur akan Allah taala.
Maka kata syeikh akan hamba, “Hai Ibrahim, bicarakanlah oleh tuan hamba dengan
bicara yang sempurna dan jangan tuan hamba bersegera pada barang pekerjaan tuan
hamba kerana bersegera itu daripada perbuatan syaitan jua. Ketahui oleh tuan
hamba bahawa Allah taala apabila dikehendaeki-Nya akan hamba-Nya dengan
kebajikan maka dipilih-Nya akan dia berbuat ibadat akan Dia, dijadikan-Nya dalam
hati hamba-Nya itu suatu pelita daripada cahaya kesucian…”
(ii). Daripada Taman Ghairah kepada Taman Jannah
Antara keseluruhan bab dan fasal yang terdapat dalam Bustan al-Salatin, Fasal ke-12
dan Fasal ke-13 daripada Bab II memperlihatkan perbezaan yang ketara daripada segi
isi dan penggunaan bahasanya. Kedua-dua fasal ini khusus membicarakan hal-hal yang
berkaitan dengan kerajaan Melayu. Fasal ke-12 menceritakan sejarah asal-usul dan jurai
keturunan raja-raja Melaka yang dipetik oleh Nuruddin al-Raniri daripada Sulalatus
Salatin. Fasal ke-13 pula menceritakan sejarah awal raja-raja Aceh yang tiada
dinyatakan sumber rujukannya termasuk beberapa peristiwa semasa yang berlaku
dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani dan Sultanah Safiatuddin Tajul
Alam. Penceritaan dalam Fasal ke-13 diwarnai pula dengan perlukisan sebuah taman
yang indah dikenali sebagai “Taman Ghairah”.
32 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005
Menurut Nuruddin al-Raniri, dalam masa pemerintahan Sultan Iskandar Thani,
telah dibina sebuah taman yang sangat indah bernama “Taman Ghairah”. Dalam
menggambarkan keindahan taman tersebut, pengarang tidak menukilkannya secara
mudah, sebaliknya mengolah dalam gaya bahasa yang tinggi nilai estetiknya. Bahagian
perlukisan taman itu dengan ketara sekali memperlihatkan kemahiran pengarangnya
dalam menggunakan bahasa Melayu yang indah berseni dan kaya perbendaharaan
katanya. Unsur-unsur “keghairahan” yang terdapat di dalam taman itu diperhalusi pula
dengan gambaran suasana dan lambang-lambang kesufian yang asyik pada penghayatan
para pembaca.
Keunikan olahan bahasa dan perlambangan “Taman Ghairah” telah menimbulkan
pelbagai tanggapan daripada para sarjana sehingga ada yang mendakwa bahawa
bahagian tersebut bukan hasil penulisan Nuruddin al-Raniri. 9 Walau bagaimanapun,
penulis berpandangan bahawa perlukisan “Taman Ghairah” dalam Bustan al-Salatin
adalah lahir daripada pena Nuruddin al-Raniri yang asal. Pandangan ini adalah
berasaskan dapatan penulis tentang sumber rujukan yang besar kemungkinan telah
digunakan oleh Nuruddin al-Raniri dalam mengarang keindahan taman tersebut, yakni,
daripada Hikayat Indraputra.’ Sebagaimana sedia diketahui, pada masa Nuruddin al-
Raniri menulis Bustan al-Salatin, Hikayat Indraputra sudah pun popular di Aceh.
Malahan, kita juga sedia mengetahui bahawa Nuruddin al-Raniri ada membaca Hikayat
Indraputra seperti yang tercatat dalam Sirat al-Mustaqim.” Penelitian penulis
mendapati sekurang-kurangnya sepuluh keterangan tentang keadaan taman dapat
ditemui dalam Hikayat Indraputra.’ Malahan, nama “Taman Ghairah” itu sendiri turut
tertulis dalam Hikayat Indraputra (Rujiati Mulyadi, 1983: 79 & 89) seperti berikut:
Maka Indraputra pun heran mendengar nama taman Ghairat itu. Seraya
tersenyum maka Indraputra pun lalulah berjalan ke taman Ghairat diiringkan oleh
bidadari itu. Maka dilihat oleh Indraputra taman Ghairat itu pagar jala-jalanya
daripada tembaga suasa dan pintunya daripada emas sepuluh mutu bertatahkan
ratna mutu manikam. Maka Indraputra pun lalulah masuk ke dalam taman itu.
Maka Raja Dewa Lela Mengerna dan Indraputra dengan Nabat Rum Syah duduk di
taman Ghairat berjaga-jaga, makan minum dengan segala bunyi-bunyian terlalu
ramai.
Daripada keterangan di atas, dapat dibuat kesimpulan bahawa Nuruddin al-Raniri
bukanlah orang pertama yang telah menggunakan nama “Taman Ghairah”, sebaliknya
nama tersebut mungkin bersumber daripada pembacaannya terhadap Taman Ghairat
dalam Hikayat Indraputra. Andaian ini disokong pula dengan perbandingan corak atau
9 Lihat perbincangan tentang hal ini dalam Grinter (1979).
10 Hikayat Indraputra merupakan salah sebuah romans Melayu pengaruh Hindu. (Lih: Rujiati Mulyadi, 1983)
11 Dalam Sirat al-Mustaqim, Nuruddin al-Raniri ada mencatatkan seperti berikut: “…harus istinja dengan kitab Taurat dan
Injil yang sudah berubah daripada asalnya, dan demikian lagi harus istinja dengan kitab yang tiada berguna pada syarak
seperti Hikayat Seri Rama dan Indraputra dan barang sebagainya, jika tiada di dalamnya nama Allah.” (rujuk Sirat al-
Mustaqim di pinggir kitab Sabil al-Muhtadin karangan Muhammad Arsyad al-Banjari, halaman 39). Catatan ini
menunjukkan bahawa Nuruddin al-Raniri pernah membaca Hikayat Indraputra.
12 Lihat Rujiati Mulyadi (1983: 79, 81, 89, 98, 148, 150,160, 176, 180, 186).
BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 33
gaya penulisan bagi kedua-dua buah teks tersebut yang tidak jauh berbeza. Banyak
nama tempat yang dinyatakan dalam Bustan al-Salatin turut dapat ditemui dalam
Hikayat Indraputra. Suatu contoh yang baik terdapat dalam petikan berikut:
Maka pada sama tengah lancang itu diperbuatnya suatu taman dan kolam, diikat
dengan yakkub yang merah dan pasirnya daripada emas urai dan batunya daripada
permata dan tanahnya daripada kesturi dan rumputnya daripada kumkum, dan di
hulu air itu airnya manis dan kerang-kerangannya daripada mutia dan permata.
Syandan di hilir air itu airnya manis, kerang-kerangannya tiram dan sinting siput
dan ganggang dan kerang dan ketam. Lain daripada itu beberapa bagai pula kerangkerangan.
Maka taman itu dibubuhnya pagar jala-jala daripada perak dan pintunya
daripada emas terlalu indah-indah perbuatannya.
Syandan pada tepi kolam itu diaturnya jambangan, ada jambangan emas, ada
jambangan perak, ada jambangan tembaga suasa. Maka pada jambangan emas itu
ditanaminya cempaka hijau, dan pada jambangan perak itu ditanaminya bunga air
mawar, dan pada jambangan tembaga suasa itu ditanaminya bunga melur susun
dan bunga seroja dan bunga seganda.
Syandan bagai-bagai bunga yang pada tanamnya ada bunga pekan, ada bunga
gambir, ada bunga anggrek, sekalian dengan jambangan bagai-bagai dan beberapa
pula kolam dalam tamanitu. Ada yang dengan kaca merah, ada yang diikat dengan
kaca ungu, ada yang diikat dengan kaca hijau. Syandan bau airnya seperti air mawar.
Maka pada sama tengah kolam itu diperbuatnya suatu balai gading bersendi-sendi
dengan emas, terlalu indah-indah perbuatannya balai itu. Syandan di hadapan balai
itu ditanamnya sepohon kayu, batangnya daripada emas, daunnya daripada zamrut
dan buahnya daripa manikam yang merah, dan di atas pucuk kayu itu ditaruhnya
seekor burung pungguk, dan di bawah kayu itu ada seekor merak terlalu indah-indah
rupanya.
(Hikayat Indraputra: Rujiati Mulyadi, 1983: 176-177)
Dan adalah sama tengah Sungai Darul Isyki itu sebuah pulau bergelar Pulau
Marman. Di kepala pulau itu sebuah batu mengampar, perusahaannya seperti
tembus, bergelar Banar Nila warna.dan adalah keliling pulau itu karang berbagaibagai
warna, bergelar Pancalogam. Di atas pulau itu suatu pasu, iaitu permandian,
bergelar Sangga Mamaq. Dan adalah isinya air mawar yang amat merbak baunya
Dan ada di sisi kolam terlalu luasnya bergelar Cindur Hati. Maka adalah dalam
kolam itu pelbagai bunga-bungaan, daripada bunga telepok, dan jengkeleni, dan
teratai, dan seroja, dan bunga iram-iram, dan bunga tunjung. Dan ada dalam
kolam itu beberapa ikan, warnanya seperti emas. Dan pada sama tengah kolam itu
sebuah pulau, diturapinya dengan batu putih, bergelar Pulau Sangga Sembega.
Dan di atasnya suatu batu mengampar seperti singgahsana rupanya
Dan di hadapan gedung itu sebuah balai gading, tempat kenduri baginda. Dan di
sisi balai itu beberapa pohon pisang, daripada pisang emas dan pisang suasa. Dan
34 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005
ada di sisi gunung tepi sungai itu suatu peterana batu berukir, bergelar Kembang
Lela Mashadi, dan arch ke hulunya suatu peterana batu warna nilam, bergelar
Kembang Seroja Berkerawang. Dan di halaman gunung itu pasirnya daripada batu
nilam dan ada sebuah balai keemasan perbuatan orang atas angin, dan di sisinya
ada sebuah rumah merpati. Syandan adalah segala merpati itu pandai menari,
bergelar Pedikiran Leka.
(Bustan al-Salatin MS Raffles Malay 8: 248-250)
Berasaskan perbandingan di atas, penulis merumuskan bahawa perlukisan “Taman
Ghairah” dalam Bustan al-Salatin adalah suatu olahan semula oleh Nuruddin al-Raniri
tentang gambaran taman yang terdapat dalam Hikayat Indraputra. Tujuan penulisannya
adalah ketara ditujukan untuk mempermuliakan Sultan Iskandar Thani. Barangkali
dengan perlukisan taman yang indah tersebut akan dapat mengangkat martabat sultan
yang sedang memerintah kerajaan Aceh ketika itu. Kebesaran Sultan Iskandar Thani
diangkat melalui sifat ketakwaan, kesalihan dan amalan kerohaniannya. Dalam konteks
ini, hal yang cukup penting diberi perhatian tentang bagaimana sebuah taman “ghairah”
yang bernafas kehinduan dalam Hikayat Indraputra telah disucikan dalam nada
kesufian oleh Nuruddin al-Raniri hingga mendekati perlukisan taman di syurga. Secara
tersiratnya, perkara ini dapat dimaknakan seolah-olah Nuruddin al-Raniri menasihati
raja-raja agar menjadikan kawasan istana sebagai taman syurga.
Sebagai taman syurga, perlukisan kawasan istana ditiupi dengan udara persekitaran
yang sakral, suci dan rohaniah. Digambarkan bahawa taman tersebut luasnya seribu
depa yang dilingkungi dengan tembok batu. Di tengah-tengah taman mengalir sungai
Dar al-Ishqi (Daerah Cinta) yang berpunca daripada gunung Jabal al-A’la. Kedua-dua
tebing Dar al-Ishqi itu diturap pula dengan batu pancawarna bergelar Tebing Tangga
Saffa. Pada bahagian kanan sungai itu terdapat sebuah medan yang luas bergelar Medan
Khairani. Pada sama tengah medan itu dibina pula sebuah gunungan tempat raja
bersemayam bernama Gegunungan Menara Permata yang diperbuat daripada batu. Di
dalam gunungan tersebut terdapat sebuah gua yang pintunya daripada perak. Di sisi
bahagian gunungan itu terdapat kandang (makam) diraja. Kawasan taman
diperindahkan lagi dengan sebuah kolam besar bernama Kolam Jentera Hati. Di
kawasan itu juga dibina balai-balai istirahat dan sebuah masjid yang indah bernama
Ishqi Mushahadah. Kalau dalam Bab IV raja-raja disarankan supaya mengamalkan
hidup bertapa, maka dalam perlukisan “Taman Ghairah” ada disebutkan Gegunungan
Menara Permata tempat raja semayam, gegunungan yang tidak begitu besar, yang
sebenarnya menjadi tempat raja berkhalwat dan bertapa.
Ada kemungkinan sebuah “taman” yang indah pernah wujud di persekitaran istana
Aceh masa silam. Kesan kewujudan taman tersebut masih dapat disaksikan lagi hingga
ke hari ini. Apakah taman tersebut benar-benar dinamakan sebagai “Taman Ghairah”
merupakan satu persoalan yang sukar diberikan jawapan yang tepat. Dalam Hikayat
Aceh atau Adat Aceh tidak pernah tercatat nama “Taman Ghairah”.” Ada kemungkinan,
13 Kunjungan penulis ke Banda Aceh mendapati beberapa kesan peninggalan taman diraja Aceh masa silam masih terpelihara
dengan baik. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat Aceh, taman-taman yang masih wujud itu lebih dikenali sebagai
“Taman Sari”.
BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 35
Nuruddin al-Raniri, melalui daya imaginasinya dan keperluan untuk menyanjung
penaungnya yang salih, telah memperindahkan gambaran sebuah taman di persekitaran
istana Aceh dengan unsur-unsur alam kerohanian, dan diberi nama sebagai “Taman
Ghairah” berdasarkan ilham nama taman yang terdapat dalam Hikayat Indraputra.
Suasana keindahan taman dibungai dan diharumi pula dengan pelbagai jenis bunga dan
pokok buah-buahan yang masak ranum, menambahkan ketenangan dan kekusyukan
hati para penghuninya, semakin menghampiri suasana gambaran di Taman Jannah.
(iii). Daripada Zillullah fil Alam kepada Zikrullah al-A/la
Bustan al-Salatin ditulis khusus oleh Nuruddin al-Raniri atas permintaan penaungnya,
Sultan Iskandar Thani, yang digelarnya sebagai Sultan Iskandar Thani Alauddin
Mughayat Syah Johan Berdaulat zillullah fil alam (bayangan Tuhan di bumi). Idea
tentang raja sebagai “bayangan Tuhan di dunia” telah tersebar ke Alam Melayu melalui
beberapa buah karya ketatanegaraan Melayu menerusi kata-kata zillullah fil alam atau
pun zillullah fil ardh. Di dalam Taj al-Salatin terdapat ayat seperti berikut (Khalid M.
Hussain, 1992: 57): “Bermula segala raja-raja itu daripada perinya ini dikatakan
zillullah fil ardh bahawa bayangan Allah di bumi”. Hal ini menunjukkan bagaimana
idea tentang keagungan dan ketinggian martabat raja-raja sebagai bayangan Tuhan di
dunia yang hidup dalam tradisi Parsi telah diamalkan secara terus oleh Nuruddin al-
Raniri terhadap raja-raja Aceh.
Penyebaran kata-kata zillullah fil alam yang terdapat dalam Bustan al-Salatin telah
menyebabkan ungkapan tersebut begitu popular dalam pengetahuan khalayak pembaca.
Malahan, sehingga kini, ungkapan tersebut begitu sinonim dengan raja-raja Melayu,
menjadi suatu keistimewaan kepada keagungan dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Ungkapan tersebut merupakan salah satu faktor utama yang mendorong rakyat jelata
mematuhi perintah dan memuliakan kedudukan serta kebesaran golongan raja. Gelaran
Sultan Iskandar Thani selaku zillullah fil alam itu telah pun diungkapkan oleh Nuruddin
al-Raniri seawal bahagian “mukadimah” Bustan al-Salatin sebagai menunjukkan
martabat tinggi sultan yang sedang memerintah Aceh ketika itu.
Walau bagaimanapun, membaca Bustan al-Salatin seterusnya, kita akan dapati
bahawa Nuruddin al-Raniri telah memberi pelbagai syarat kepada raja-raja yang
bergelar zillullah fil alam. Antara syarat yang utama ialah keperluan raja-raja
memerintah dengan adil, bersikap pemurah, berakal dan berilmu pengetahuan. Menurut
Nuruddin al-Raniri, semua perkara ini hanya akan dapat dicapai oleh seorang raja yang
beriman dan beramal salih, sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT, mengamalkan
syariat Nabi dan mengerjakan perbuatan kebaikan dalam pemerintahan. Sebahagian
daripada nasihat Nuruddin al-Raniri terdapat dalam petikan-petikan berikut:
“Nasihat: Hai segala raja-raja yang adil, dengarlah hal Amirulmukminin Umar
radiallahuanhu, betapa is merendahkan dirinya daripada melihat kebesaran
Allah taala dan melelahkan dirinya kerana memelihara segala hamba Allah dan
meneguhkan syariat Nabi sallallahu alaihi wassalam” (Bustan al-Salatin, MS UM
41, halaman 315).
36 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005
Nasihat: Sayugianya bagi segala raja-raja, jangan ia membesarkan dirinya kerana
melihat kekayaan, dan jangan ia maghrur dengan kekayaannya dunia yang fana ini,
lagi jangan ia mentakburkan dirinya (Bustan al-Salatin, MS Klinkert 14, halaman
83).
Bagi Nuruddin al-Raniri, salah satu cara bagaimana raja-raja dapat meningkatkan iman
dan amal salih adalah melalui perdampingan dengan para ulama. Dalam Bustan at-
Salatin, terdapat banyak cerita nasihat yang menunjukkan kisah raja-raja atau
pemerintah yang sentiasa mendapatkan nasihat daripada para ulama, termasuk ceritacerita
yang berkaitan dengan Khalifah Umar al-Khattab dan Harun al-Rasyid. Salah
satu nasihat Nuruddin al-Raniri kepada raja-raja adalah seperti berikut:
Nasihat: Sayugianya bagi segala raja-raja yang berjinak-jinakan dengan segala
ulama yang menunjuk jalan akhirat (Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 369).
Lebih utama daripada menghampiri para ulama, Nuruddin al-Raniri turut menasihati
raja-raja agar sentiasa berkhalwat dan berzikir mengingati Allah Yang Maha Tinggi,
zikrullah al-a’la. Raja yang berzikir menghubungkan hati dengan Allah akan sentiasa
berada dalam rahmat dan hidayat-Nya. Melalui amalan zikir akan merapuhkan
kebanggaan raja selaku zillullah fi alam hingga ke tahap seorang hamba yang penuh
harap. Hanya dengan cara ini akan membawa seorang raja itu benar-benar
. –
mengamalkan ciri-ciri seorang pemerintah yang salih dan seterusnya mengamalkan
prinsip adil dalam segala urusan kerajaannya. Dalam mengukuhkan nasihatnya,
Nuruddin al-Raniri memetik sebuah cerita daripada Imam al-Ghazzali seperti berikut:
Kata Imam al-Ghazzali radiallahu anhu, bahawa ada seorang raja, pada suatu hari
pergi ia mengunjung seorang syeikh. Maka sabda raja itu, “Ya tuan syeikh, barang
jangan kiranya tuan hamba lupakan hamba pada ketika tuan hamba khalwat, tuan
sebutkan kiranya hamba kepada Allah taala.” Maka sahut syeikh. “Tuanku, diri
hamba lagi tiada hamba sebutkan pada Allah taala, maka betapa menyebutkan tuan
hamba kepada Allah taala?”
Maka sabda raja itu, “Ya tuan syeikh, apa sebabnya berkata tuan hamba yang
demikian?” Maka sahut syeikh, “Tuanku, apabila hamba menyebut nama Allah taala,
maka lupalah hamba akan diri hamba.” Maka berkata pula syeikh, “Jikalau
berkehendak tuanku akan hal yang demikian itu, bahawa janganlah tuanku menyebut
nama lain daripada nama Allah taala.”
Nasihat: Sayugia bagi segala hamba Allah, hendaklah diperbuat banyak-banyak
menyebut nama Allah supaya jadi ia daripada orang yang berjinak-jinakan dengan
Dia.
(Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 611)
BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 37
Kesimpulan
Penulisan Bustan al-Salatin dapat dilihat sebagai salah sebuah sumbangan besar
Nuruddin al-Raniri kepada dunia Melayu dalam usaha menghasilkan sebuah dokumen
yang berkaitan dengan sejarah dan tatacara pemerintahan raja-raja di Alam Melayu.
Dalam karya tersebut tergambar pengetahuan luas Nuruddin al-Raniri tentang tatacara
pemerintahan raja-raja yang hidup dalam tradisi Islam dan juga ciri kesasterawanannya
dalam menampilkan cerita-cerita nasihat kepada raja-raja. Lebih utama daripada itu,
karya tersebut turut memperlihatkan persepsi Nuruddin al-Raniri terhadap ajaran
kerohanian kepada raja-raja, yang dicernakan dalam bentuk amalan yang praktikal
untuk dihayati oleh para pemerintah. Mutiara kesufian dalam karya tersebut tidak
ditampilkan dalam bentuk falsafah yang rumit difahami sebaliknya muncul dalam
bentuk nasihat dan cerita tauladan yang boleh menimbulkan kesan keinsafan dalam
penghayatan pembaca.
Kisah hidup para anbia dan aulia pada masa lalu merupakan mutiara kesufian yang
abadi dalam sejarah manusia. Usaha Nuruddin al-Raniri merakam semula kisah-kisah
tersebut dalam Bustan al-Salatin sedikit sebanyak telah memberi petunjuk kepada rajaraja
Aceh tentang pembentukan peribadi raja yang salih dan beriman selaras dengan
kedudukan Aceh sebagai Darussalam. Usaha tersebut seharusnya turut memberi
manfaat kepada raja-raja Melayu secara keseluruhannya dan kekal berterusan hingga ke
hari ini. Bagi raja yang beriman, mendekatkan diri dengan jalan kesufian, secara
langsung akan mendorong rakyat jelata mengikuti jalan yang sama. Walau
bagaimanapun, jalan kesufian bukanlah satu jalan yang mudah, sebaliknya menuntut
tahap kefahaman, kesabaran dan ketakwaan yang tinggi, apatah lagi kepada golongan
raja yang hidup penuh dengan kekuasaan dan kemewahan. Rumusan akan hal ini dapat
diperhatikan melalui petikan cerita Ibrahim ibn Adham seperti berikut:
Sekali persetua, pada suatu hari bertemu Ibrahim ibn Adham dengan seorang lakilaki
dalam tempat tawaf. Maka kata Ibrahim ibn Adham, “Hai laki-laki, tiada
engkau sampai kepada darjat segala salihin melainkan dengan engkau perbuat enam
perkara. Pertama-tama menutupkan pintu nikmat dan membukakan pintu
kesukaran. Kedua, menutupkan pintu kemuliaan dan membukakan pintu kehinaan.
Ketiga, menutupkan pintu kesentosaan dan membukakan pintu kedukaan. Keempat,
menutupkan pintu kekayaan dan membukakan pintu kepapaan. Kelima,
menutupkan pintu tidur dan membukakan pintu jaga. Keenam, menutupkan pintu
berlanjut-lanjutan bicara dan membukakan pintu daripada segeranya maut.”
(Bustan al-Salatin, MS UM 41, halaman 584-585)
38 / Jurnal Filologi Melayu, Jilid 13, 2005
Bibliografi
Ali Haji Ahmad. 2000. Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Azyumardi Azra. 1994. Jaringan Ulama Timur Tengah dan Kepulauan Nusantara.
Bandung. Penerbit Mizan.
Braginsky, V.I. 1993. Tasawuf dan Sastera Melayu: Kajian dan Teks-Teks. Jakarta.
RUL.
Grinter, C.A. 1979. “Book IV of the Bustan Us Salatin: A Study from the manuscripts
of a 17th Century Malay Work Written in North Sumatra”. Tesis PhD. University
of London.
Ito, Takeshi. 1978. “Why did Nuruddin ar-Raniri leave Aceh in 1054 A.H.?” BKI
(34).No.4. Hal. 489-491.
Jelani Harun. 1999. “Nuruddin al-Raniri’s Bustan al-Salatin: A Universal History and
Adab Work From Seventeenth Century Aceh”. Tesis PhD. University of London.
Johns, A. H. 1955. “Aspects of Sufi Thought in India and Indonesia in the first half of
the 17th Century” MBRAS (28). Hal. 70-77.
Jones, Russell, Hikayat Sultan Ibrahim. Holland. Foris Publications.
Lombard, Denys. 1986. Kerajaan Aceh Jaman Sultan Iskandar Muda (1607-1636).
Jakarta. Balai Pustaka.
Muhammad Arsyad al-Banjari. Sabil al-Muhtadin. Cairo. Dar Ihya’ al-Kutub al-
`Arabiyya.
Muhammad Zainiy Uthman. 1998. “Lata if al-Asrar li-ahl Allah al-Atyar Karangan Nur
al-Din al-Raniri: Satu Tinjauan Epistemologi dan Falsafah Ilmunya A1-Shajarah”.
(ISTAC). Hal. 119-147.
Rujiati Mulyadi. 1983. Hikayat Indraputra: A Malay Romance. Holland. Foris
Publications.
Shiraishi, Saya. 1990. A Study of Bustanu’s-Salatin dalam Reading Southeast Asia. New
York. SEAP. Hal. 41-55.
Siti Hawa Haji Salleh. 1992. Bustan al-Salatin. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
BUSTAN AL-SALATIN Mutiara Kesufian / 39
Steenbrink, Karel A. 1989. “On Structure and Sources of the Bustanus Salatin dalam
Texts from the Islands”. The University of Berne. Hal. 183-202.
Syed Muhammad Naguib al-Attas. 1966. Raniri and the Wujudiyyah of 17th Century
Aceh. Singapore. MBRAS.
1986. A Commentary on the Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri. Kuala
Lumpur. Ministry of Culture Malaysia.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s