Mukjizat Dalam Islam

26 Mukjizat
Table of contents
MUKJIZAT LAHIR
MUKJIZAT BATIN (MAKNAWIAH)
Mukjizat ialah hal-hal atau kejadian-kejadian yang berlaku yang Allah kurniakan pada rasul-rasul atau nabi-nabi yang menyalahi adat kebiasaan – khawariqul ‘adah ( ) atau ia berlaku di luar logik akal. Tujuannya untuk kemuliaan dan kebenaran di pihak para rasul dan nabi dan juga untuk melemahkan musuh-musuhnya.

Mukjizat itu terbahagi kepada dua bentuk iaitu: 1. Mukjizat lahir 2. Mukjizat batin (maknawiah)

MUKJIZAT LAHIR
Ia adalah perkara yang mencarik adat yang berlaku pada seseorang rasul dan nabi, yang dapat dilihat dengan mata lahir. Antara contohnya, tongkat dicampak bertukar menjadi ular, manusia atau binatang mati dihidupkan, penyakit kusta dan sopak dapat disembuhkan, mata buta dapat dicelikkan, air yang sedikit dapat diminum oleh ratusan orang, dibakar tidak hangus, tongkat dipukul ke batu menghasilkan pancutan air, bulan terbelah dua, tongkat dapat membelah lautan dan sebagainya.

MUKJIZAT BATIN (MAKNAWIAH)
Mukjizat ini hanya pada makna sahaja, tidak pada rupa. Terasa adanya dan boleh dinilai oleh mata hati (basyirah) sahaja. Tidak dapat dilihat oleh mata lahir. Antara contohnya ialah wahyuwahyu yang disampaikan kepada rasul dan nabi yang mengandungi bermacam-macam ilmu pengetahuan dan hukum-hakam tanpa mereka belajar seperti manusia biasa. Umpamanya Al Quran, Injil, Taurat, Zabur dan Suhuf-Suhuf, ianya tidak dapat dilihat dengan mata kepala kecuali setelah ditulis. Mukjizat batiniah yang lain ialah:

dapat tundukkan nafsu tanpa mujahadah
Allah kurniakan bersih dari dosa dan kesalahan
hati tidak terpaut dengan dunia dan kelazatan serta keindahannya
mendapat ilmu dan tarbiah terus dari Allah atau mendapat wahyu
manusia jatuh hati dan cinta luar biasa padanya
musuh merasa gerun dengan kehebatannya
sangat sabar dengan ujian-ujian dari kaumnya
azamnya terlalu kuat, hati terlalu teguh, cintanya dengan Allah terlalu tinggi dan lain-lain lagi.
Mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada nabi dan rasul bukan diberi mengikut kehendak para rasul dan nabi itu sendiri. Tetapi dicatu sesuai dengan hal semasa dan keperluan se389 seorang nabi dan rasul itu. Dan ia tidak boleh dipelajari tetapi hadiah atau mauhibbah atau wahbiah dari Allah. Dalam sejarah rasul-rasul dan nabi-nabi, mukjizat-mukjizat yang pernah diberikan kepada mereka tidak sama di antara satu sama lain. Kebiasaannya mereka diberi mukjizat di kedua-dua peringkat. Kalau dia seorang nabi; ertinya dia bukan seorang pemimpin yakni bukan untuk masyarakat; maka Allah berikan mukjizat yang sesuai dengan wataknya sebagai seorang abid. Mungkin mukjizat lahir atau batin yang diberikan itu sesuai dengan keperluannya sebagai abid.

Tetapi pada seorang Rasul yang dia adalah pemimpin umatnya, maka Allah kurniakan mukjizat lahir dan batin (maknawiah), sesuai dengan keperluannya berdepan dengan umat yang dipimpinnya. Rasul-rasul yang paling banyak mendapat mukjizat ialah rasul-rasul yang mendapat pangkat Ulul Azmi kerana mereka ini paling tahan, paling sabar berhadapan dengan ujian-ujian berat daripada kerenah kaumnya.

Pemberian mukjizat pada nabi-nabi dan rasul-rasul ini tidak sama kerana keperluan mereka juga berbeza antara satu sama lain. Adakalanya mereka tidak boleh ikut-mengikut di antara satu sama lain. Mukjizat Nabi Musa a.s. tidak sama dengan mukjizat Nabi Khaidir a.s. Padahal Nabi Musa a.s. itu lebih besar darjat dan keutamaannya dari Nabi Khaidir a.s. Nabi Musa salah seorang Ulul Azmi sedangkan Nabi Khaidir a.s. hanya nabi, bukan rasul. Bahkan sesetengah ulama masih mempertikaikan tentang kenabian Nabi Khaidir. Ada yang menganggap beliau hanya orang soleh yang bertaraf wali sahaja.

Tetapi antara mereka berdua di suatu ketika, Nabi Khaidir diberi mukjizat maknawiah (batin). Walhal di waktu itu tidak diberi kepada Nabi Musa. Tiga hari saja mereka dapat berkawan. Sedangkan sebelum itu Nabi Khaidir sudah ingatkan Nabi Musa, “Kau takkan sanggup ikut aku, kau takkan tahan sabar.”

Ini kerana peranan antara nabi dengan rasul itu berbeza. Nabi bukan pemimpin sedangkan rasul adalah pemimpin. Nabi mengikut takrifnya ialah seorang lelaki Islam yang merdeka, baligh dan berakal yang diberi wahyu tetapi hanya untuk dirinya sendiri dan tidak wajib menyampaikannya kepada orang lain. Bila tidak wajib menyampaikan, maknanya dia bukan seorang pemimpin.

Sedangkan rasul, seorang lelaki Islam yang merdeka, baligh dan berakal yang diberi wahyu dan dia wajib mengamalkannya dan wajib menyampaikan kepada umatnya. Maknanya, dia pemimpin dan pendidik.

Nabi Musa a.s. seorang rasul, dia memimpin dan mendidik kaumnya. Antara mukjizat maknawiyah yang ada pada Nabi Musa a.s. ialah tahan sabar, kuat azam, kuat jiwa berhadapan dengan Firaun. Sangat sabar bila disusah-susahkan oleh kerenah pengikutnya serta tahan berpindah-randah di tanah gurun panas yang mencengkam itu atau bila sejuk terlalu dingin. Ketabahan hatinya itu Allah nilai. Akhirnya Allah marah kepada Bani Israil dengan disesatkan mereka selama 40 tahun dan dibiarkan terumbang-ambing di Padang Teh. Nabi Musa juga turut sama teruji bersama-sama pengikutnya itu. Walhal kesalahan itu bukan dibuat olehya. Tetapi kerana Allah hendak menghukum orang lain, dia juga turut sama terhukum. Walau bagaimanapun dia tetap tahan menderita dan sabar dengan ujian yang sangat menyeksakan itu. Tahan jiwa, tahan sabar, kuat azam, teguh hati dan tabahnya dengan ujian yang berat yang datang dari perangai jahat umatnya. Ini mukjizat maknawiyah yang berlaku padanya. Tetapi pada kebanyakan orang, bentuk-bentuk ini tidak dianggapnya sebagai mukjizat kerana tidak dapat dilihat dengan mata kepala.

Manakala mukjizat maknawiah (batin) yang berlaku pada Nabi Khaidir lain pula bentuknya yakni dikasyafkan. Dia nampak apa yang bakal berlaku iaitu kapal akan dimusnahkan oleh perompak. Langsung kapal itu ditenggelamkannya.

Cuba bayangkan kalau Nabi Musa pun dapat mukjizat maknawiah begitu? Dia juga kemudiannya akan tenggelamkan kapal itu. Walhal dia pemimpin umatnya. Tentulah pengikutnya lebih sulit hendak mengikut kepimpinannya dan akan mempertikaikan perbuatannya. Dia dianggap pula sebagai perosak dan penzalim.

Macamlah pemimpin sekarang ini, kalau Allah kurniakan dia keramat maknawiah, katalah dia membakar Mercedes atau bunuh orang. Sebab dia nampak batin orang itu akan merompak dengan menggunakan Mercedes itu. Apa yang akan terjadi? Bolehkah orang ramai terima kepimpinan begitu? Tentu orang akan tolak bahkan boleh jadi orang akan tuduh dia sebagai pembunuh!

Jadi Nabi Khaidir diberi mukjizat bentuk itu kerana dia tidak memimpin ummah. Manakala Nabi Musa a.s. tidak diberikan mukjizat maknawiah seperti Nabi Khaidir a.s. di waktu itu. Kalaulah Nabi Musa diberi kasyaf, nampak apa yang akan terjadi sepertimana Nabi Khaidir, tentulah haru-biru masyarakat. Ada yang akan marah dan mengamuk kerana harta benda mereka dijahanamkan.

Walhal mengenai strategi perang atau berkait dengan halhal keselamatan ummah, Allah kurniakan mukjizat lahir pada Nabi Musa a.s. Bukan untuk dirinya tetapi untuk keselamatan umum. Buktinya, sewaktu tali-tali ahli-ahli sihir Firaun bertukar menjadi ular, tongkat Nabi Musalah yang berperanan menjadi ular besar yang menelan habis kesemua ular-ular Firaun itu. Bukankah ini di luar logik, di luar kebiasaan. Inilah mukjizat zahir. Allah lakukan sihir itu tidak memberi kesan langsung dan tongkat mampu menjadi ular besar yang menelan seluruh ular-ular itu. Ini menunjukkan mukjizat bentuk itu amat perlu di waktu itu untuk meyakinkan orang ramai yang menyaksikan tentang keagungan Allah dan demi menyelamatkan keyakinan umat. Di atas kejadian-kejadian inilah akhirnya ahli-ahli sihir itu turut beriman kepada Allah dan kepada Nabi Musa. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Lalu ahli-ahli sihir itu bersujud seraya berkata: ‘Kami telah beriman dengan Tuhan Harun dan Musa’.” (At Taha: 70)

Begitu juga mukjizat tongkat Nabi Musa dapat membelah laut sewaktu dikejar Firaun dan tentera-tenteranya. Ini perlu di waktu itu untuk keselamatan Nabi Musa dan kaumnya. Sekaligus membunuh mati penentang-penentang Allah itu. Ini juga luar biasa dan di luar logik. Mana mungkin hanya sebatang tongkat bisa membelah lautan? Mustahil. Tetapi itulah yang terjadi dan telah berlaku. Inilah mukjizat lahir Nabi Musa yang berlaku yang sangat diperlukan oleh Nabi Musa demi untuk menyelamatkan umatnya. Allah lakukan ini semua untuk keselamatan kekasih-Nya dan meyakinkan lagi kaumnya.

Contoh mukjizat Nabi Ibrahim pula, Raja Namrud dan rakyatnya kerana terlalu marah dengan pegangan dan perjuangan Nabi Ibrahim lantas menangkap dan mahu membunuhnya. Dicampakkan ke dalam api yang menjulang tinggi laksana gunung. Api mengikut kebiasaan adatnya membakar. Tetapi aneh! Api di waktu itu tidak pun membakar Nabi Ibrahim. Bahkan berlaku sebaliknya. Nabi Ibrahim terasa sejuk. Ini berlaku di luar kebiasaan atau di luar logik. Inilah mukjizat zahir. Allah lakukan api sebesar itu tidak menjadi sebab membakar Nabi Ibrahim. Hal ini amat perlu di waktu itu. Kalau tidak, tentunya Nabi Ibrahim sudah terbakar hangus.

Pada Rasulullah SAW pula, antara mukjizat yang berlaku padanya ialah diberi ilmu tanpa belajar. Pernah musuh-musuh baginda di kalangan orang-orang Yahudi telah menghantar pendita-penditanya untuk menguji Baginda. Mereka menyoal baginda dengan tujuan memberi malu, menjatuhkan maruah dan kewibawaan Baginda.

Biasanya seorang yang tidak pernah belajar di mana-mana sekolah, yang tidak tahu membaca dan menulis pula, tentulah tidak dapat menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Tetapi yang anehnya, semua soalan yang diajukan walau apa bentuk masalah atau persoalannya, semuanya dapat dijawab oleh Rasulullah SAW dengan baik dan tepat. Dan ini sangat memeranjatkan musuh. Bahkan mereka pula yang malu dan akur dengan jawapan-jawapan Baginda itu. Akhirnya mereka pulang dengan hampanya kerana ketua pendita mereka sendiri telah memeluk Islam, setelah mendapati kebenaran Rasulullah SAW. Ini berlaku di luar logik.

Inilah yang dikatakan mukjizat maknawiah. Allah kurniakan mukjizat ini menunjukkan perlu di waktu itu dan sesuai pula dengan hal-hal semasa kerana yang datang itu semuanya cerdik pandai yang hendak menguji keilmuan Rasulullah SAW. Kalau tidak tentulah kebenaran Allah dan Rasul-Nya akan ditolak oleh musuh buat selama-lamanya.

Daripada huraian-huraian di atas, nyatalah Allah kurniakan mukjizat pada rasul-rasul dan nabi-nabi-Nya bukan sesuka hati, tetapi dicatu mengikut keperluan semasa. Untuk tujuan kemudahan, keindahan dan keselamatan ummah. Kebanyakan nabi-nabi dan rasul-rasul diberikan mukjizat maknawiah lebih daripada mukjizat lahiriah. Rasul-rasul yang paling banyak mendapat mukjizat lahiriah dan maknawiah ialah di kalangan lima orang yang berpangkat Ulul Azmi sahaja. Iaitu Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim, Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Nuh a.s. Mereka ini semuanya terlalu kuat azam, hati teguh, hati terlalu kuat bergantung dengan Allah, sabar dan tabah dalam menghadapi ujian-ujian dan kedegilan kaum-kaum mereka. Demikianlah huraian secara ringkas tentang mukjizat. Moga-moga kita sama-sama memahaminya.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s